PORT SUDAN, 3 November - Lebih 36,000 penduduk awam Sudan telah melarikan diri dari bandar dan kampung di wilayah Kordofan di timur Darfur.
Ia berikutan keadaan keselamatan yang semakin meruncing, sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas kumpulan tentera pemberontak RSF menyerbu bandar El-Fasher.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) mengesahkan bahawa gelombang pemindahan secara paksa terbaharu itu berikutan beberapa siri pergerakan awal di Kordofan Utara, yang menyaksikan 36,625 orang hilang tempat tinggal antara 26 hingga 31 Oktober lepas.
Agensi bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan IOM yang beroperasi di bawah program 'Displacement Tracking Matrix' menganggarkan daripada jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Kordofan Utara, seramai 580 melarikan diri dari Bara dan 625 dari Umm Ruwaba.
IOM juga menambah, 360 orang kehilangan tempat tinggal di negeri Kordofan Selatan, termasuk 180 dari Al-Abbasiya dan 180 dari Delami, yang berpindah ke kawasan lain dalam negeri berkenaan serta ke Tandalti di negeri White Nile.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung untuk Afrika Martha Pobee pada minggu lalu memberi amaran mengenai "kekejaman berskala besar" dan "tindak balas bermotifkan etnik" oleh RSF di Bara.
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa.
Konflik itu telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang hilang tempat tinggal dan hidup sebagai pelarian, sekali gus mewujudkan krisis perpindahan dan kelaparan terbesar di dunia.-AFP