fb fb fb fb fb

Jepun tambah dana bantuan AS$5.5 bilion kepada Ukraine

(Foto fail AFP)

TOKYO, 20 Februari- Jepun akan menawarkan sokongan kewangan baharu kepada Ukraine bernilai AS$5.5 bilion, kata Perdana Menteri, Fumio Kishida pada Isnin.

Tawaran itu beberapa hari sebelum ulang tahun pertama pencerobohan Rusia, sejak perang bermula pada 24 Februari 2022.

Jepun sebelum ini telah menyediakan Ukraine dengan sokongan kewangan bernilai AS$600 juta bersama ratusan juta dolar bantuan kemanusiaan, menurut pejabat perdana menteri.

Bagaimanapun, 'masih ada keperluan untuk membantu orang yang mata pencarian mereka telah musnah akibat perang, dan memulihkan infrastruktur yang musnah', kata Kishida dalam ucapan di simposium badan pemikir, di sini.

"Kami telah memutuskan untuk menyediakan sokongan kewangan tambahan sebanyak AS$5.5 bilion," katanya.

(Fumio Kishida/Foto AFP)

Perdana Menteri Jepun itu juga mengumumkan akan menjadi tuan rumah sidang video pemimpin G7 dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Jumaat, hari ulang tahun pertama pencerobohan Rusia.

"Tahun ini, Jepun, sebagai presiden G7 dan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, akan menyokong Ukraine dalam memerangi pencerobohan Rusia dan mengetuai usaha dunia untuk menegakkan perintah antarabangsa yang bebas dan terbuka berdasarkan kedaulatan undang-undang," kata Kishida.

Pemimpin G7 secara peribadi akan bertemu di Hiroshima pada bulan Mei.

Pengumuman Kishida itu dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengadakan lawatan mengejut ke Kiev.

Ia merupakan lawatan pertama Biden ke Ukraine sejak perang bermula, dan perjalanan itu dipuji oleh Zelensky sebagai "tanda sokongan yang sangat penting untuk semua rakyat Ukraine".-AFP

Media Baharu