fb fb fb fb fb

Jepun rancang lepas air terawat loji nuklear Fukushima

(FOTO AFP)

TOKYO, 13 Januari- Jepun merancang melepaskan lebih sejuta tan air terawat dari loji tenaga nuklear Fukushima ke laut pada tahun ini, kata jurucakap tertinggi kerajaan.

Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno berkata, pelan itu disahkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Bagaimanapun kerajaan akan menunggu 'aporan komprehensif oleh badan pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum dibebaskan ke laut.

"Kami menjangkakan masa pelepasan akan berlaku pada musim bunga atau panas tahun ini selepas kemudahan telah siap dan diuji serta laporan komprehensif dikeluarkan IAEA.

"Kerajaan akan berusaha sedaya upaya memastikan keselamatan dan mengambil langkah pencegahan terhadap khabar angin mengenainya," katanya.

Komen tersebut merujuk kepada kebimbangan berterusan dibangkitkan negara jiran dan komuniti nelayan tempatan mengenai rancangan pelepasan air terawat itu.

Sistem penyejukan loji bocor semasa bencana gempa bumi bawah laut sehingga mencetuskan tsunami pada 2011, menyebabkan nahas nuklear terburuk selepas Chernobyl.

Operator loji TEPCO berkata air terawat memenuhi piawaian kebangsaan untuk tahap radionuklid, kecuali satu unsur, tritium.

Pakar mengesahkan ia hanya berbahaya kepada manusia dalam dos yang besar.

(Seorang pekerja sedang menjalankan ujian sampel air tercemar di loji nuklear Fukushimna, Okuma/AFP)

Pihak berkuasa merancang untuk mencairkan air untuk mengurangkan paras tritium dan melepaskannya ke luar pesisir selama beberapa dekad melalui paip bawah air sepanjang satu kilometer (0.6 batu).

IAEA berkata pelepasan itu memenuhi piawaian antarabangsa dan tidak akan menyebabkan sebarang bahaya kepada alam sekitar.

Jiran serantau termasuk China dan Korea Selatan, dan kumpulan seperti Greenpeace, telah mengkritik rancangan itu. - AFP

Media Baharu