fb fb fb fb fb

Jepun pertimbang tenaga nuklear untuk atasi masalah tenaga

(FOTO REUTERS)

TOKYO, 25 Ogos- Perdana Menteri Jepun menggesa agar industri tenaga nuklear negara itu dipulihkan dalam usaha menangani kos tenaga import yang melambung tinggi.

Tindakan sedemikian boleh menjadi kontroversi, selepas bencana Fukushima 2011 membawa kepada penggantungan banyak reaktor nuklear kerana kebimbangan keselamatan.

Seperti kebanyakan negara, Jepun yang menyasarkan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050 menghadapi tekanan bekalan tenaga sejak tentera Rusia mencerobohi Ukraine enam bulan lalu.

Negara itu juga dilanda suhu tinggi yang memecah rekod musim panas ini, dengan penduduk diminta menjimatkan kuasa sekiranya boleh.

"Pencerobohan Rusia di Ukraine telah banyak mengubah landskap tenaga dunia dan oleh itu Jepun perlu sentiasa ingat mengenai risiko terjerumus ke dalam krisis", kata Perdana Menteri Fumio Kishida dalam mesyuarat dasar tenaga.

Kata beliau Jepun harus mempertimbangkan untuk membina reaktor nuklear generasi akan datang, manakala kerajaan akan membincangkan cadangan membawa lebih banyak loji nuklear dalam talian dan memanjangkan hayat perkhidmatan reaktor jika keselamatan dapat dijamin.

(Perdana Menteri Jepun menggesa agar industri tenaga nuklear negara itu dipulihkan dalam
usaha menangani kos tenaga import yang melambung tinggi/REUTERS)

Kishida menggesa "kesimpulan konkrit menjelang akhir tahun" mengenai topik itu, yang masih sensitif selepas tsunami pada Mac 2011 menyebabkan keruntuhan di loji Fukushima, bencana nuklear terburuk sejak Chernobyl.

Sebelas tahun kemudian, 10 daripada 33 reaktor nuklear Jepun telah kembali beroperasi, walaupun tidak semuanya beroperasi sepanjang tahun, dan negara ini sangat bergantung pada bahan api fosil yang diimport.

Badan pemerhati keselamatan nuklear kebangsaan telah meluluskan pada dasarnya untuk memulakan semula tujuh lagi reaktor, tetapi langkah tersebut sering mendapat tentangan daripada masyarakat tempatan. -AFP

Media Baharu