fb fb fb fb fb

Wanita 89 tahun antara 365 ditahan di London kerana sokong Palestine Action

Polis menahan seorang penunjuk perasaan berusia 89 tahun pada demonstrasi “Lift The Ban” bagi menyokong kumpulan Palestine Action di Parliament Square, London / Foto AFP

LONDON, 10 Ogos – Wanita 89 tahun antara 365 individu ditahan dalam demonstrasi menyokong kumpulan Palestine Action, di Parliament Square, di sini, pada Sabtu.

Angka itu antara jumlah tangkapan terbesar pernah direkodkan dalam perhimpunan di ibu negara itu.

Polis Metropolitan dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mereka ditahan atas kesalahan “menyokong organisasi yang diharamkan” mengikut undang-undang antikeganasan.

Manakala tujuh lagi ditahan atas kesalahan lain termasuk menyerang anggota polis, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Pada awal Julai lalu, Kerajaan Britain mengharamkan Palestine Action.

Bagaimanapun, langkah itu mengundang kritikan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Amnesty International dan Greenpeace.

Tindakan mengharamkan kumpulan tersebut disifatkan sebagai penyalahgunaan undang-undang dan ancaman terhadap kebebasan bersuara. - AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN