NEW ALAMEIN, 10 Ogos – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan rancangan kabinet Israel untuk memperluas pendudukan dan kawalan sepenuhnya ke atas Gaza.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, langkah itu menandakan fasa baharu dalam dasar peluasan wilayah dan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.
“Netanyahu telah mengumumkan hasratnya untuk menjajah sepenuhnya Gaza. Kami menolak sekeras-kerasnya rancangan ini.
Ia adalah fasa baharu dasar peluasan dan pembunuhan beramai-ramai Israel. Dunia Islam mesti bertindak dalam solidariti penuh dan menggerakkan komuniti antarabangsa,” katanya.
Beliau menegaskan, tiada alasan yang boleh diterima untuk mana-mana negara terus menyokong Israel.
Fidan menegaskan, dasar rejim itu bertujuan memaksa rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka melalui kebuluran.
Sementara itu, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty berkata, negaranya dan Turkiye sepakat mengutuk rancangan Israel tersebut.
“Kami menekankan kepentingan usaha bersama dan tindakan bersepadu bagi menghadapi rancangan ini melalui pelbagai cara.
Malah akan memperhebat tekanan serantau dan antarabangsa terhadap Israel,” tegasnya.
Abdelatty turut mengutuk semua tindakan tidak berperikemanusiaan di Tebing Barat, termasuk perampasan tanah, pembinaan penempatan haram.
Selain, usaha menjadikan kehidupan rakyat Palestin mustahil demi memaksa mereka meninggalkan kawasan itu.
“Ini adalah garisan merah yang tidak pernah dan tidak akan dibenarkan sama sekali.
Jika dilaksanakan, rancangan ini akan membawa kepada penghapusan isu Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Menteri OIC dalam kenyataan berasingan menyifatkan, rancangan Israel itu sebagai “eskalasi berbahaya, pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan cubaan mengukuhkan pendudukan haram”.
OIC turut memberi amaran rancangan tersebut akan menghapuskan sebarang peluang untuk keamanan di rantau berkenaan.
Mesyuarat pada Sabtu di sini turut melibatkan pertemuan Fidan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu menjadi pengantara bagi mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
OIC menyeru kuasa besar dunia dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) segera bertindak menghentikan rancangan Israel di Gaza.
Pada masa sama memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh rejim itu. - REUTERS