fb fb fb fb fb

Biden umum bantuan pembayaran balik pinjaman pendidikan

(Biden berkata pendidikan kolej AS boleh menelan kos AS$10,000 hingga
AS$70,000 setahun/AFP)

WASHINGTON, 25 Ogos- Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa kebanyakan lepasan universiti Amerika Syarikat yang masih cuba membayar balik pinjaman pendidikan masing-masing akan mendapat bantuan AS$10,000.

"Selaras dengan janji kempen pilihan raya saya, pentadbiran saya mengumumkan rancangan untuk memberi ruang bernafas kepada keluarga pekerja dan kelas menengah," kata Biden dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kurang daripada tiga bulan sebelum pilihan raya kongres pertengahan.

Pendidikan kolej AS boleh menelan kos AS$10,000 hingga AS$70,000 setahun, menyebabkan siswazah menanggung hutang yang besar apabila mereka memasuki pasaran kerja.

Menurut anggaran kerajaan, purata hutang untuk pelajar kolej AS apabila mereka tamat pengajian ialah AS$25,000, jumlah yang memerlukan tempoh sehingga berpuluh tahun untuk dilunaskan.

(Biden umum bantuan pembayaran balik pinjaman pendidikan/AFP)

Secara keseluruhan, kira-kira 45 juta peminjam di seluruh negara berhutang secara kolektif AS$1.6 trilion, menurut White House.

Bawah pelan pelepasan, AS$10,000 akan dipotong daripada semua pinjaman yang ditanggung individu yang mendapat gaji kurang daripada AS$125,000 setahun.

Bagi bekas pelajar yang pergi ke universiti dengan bantuan kerajaan berasaskan keperluan yang dikenali sebagai geran Pell, pelepasan ditingkatkan kepada AS$20,000.

Sementara itu, moratorium pembayaran balik pinjaman yang dimulakan semasa pandemik COVID-19 dilanjutkan hingga akhir tahun ini, dengan ansuran dimulakan semula pada 31 Disember. -AFP

Media Baharu