fb fb fb fb fb

11 terbunuh dalam protes Saba Saba di Nairobi

Petugas bilik mayat menerima jenazah Brian Kimutai Bitok, 21, yang ditembak mati ketika protes anti-kerajaan di Kitengela, Kenya, 8 Julai lalu/Foto REUTERS

NAIROBI, KENYA, 9 Julai –  Keluarga mangsa yang terkorban dalam protes anti-kerajaan ‘Saba Saba’ pada Isnin lalu menuntut agar keganasan dihentikan segera.

Ini susulan kemarahan rakyat terhadap kekejaman polis yang semakin memuncak dalam pertelingkahan dengan penunjuk perasaan.

“Saya merayu kepada kerajaan, dengarlah suara anak-anak muda tentang apa yang mereka mahukan dalam hidup mereka.

“Kamu telah 'menamatkan' riwayat anak kami. Anak saya sudah mati. Dialah tempat saya bergantung… dialah segala-galanya buat saya.

“Janganlah bunuh anak-anak kami lagi! Dengar tangisan mereka, dan dengar juga suara kami para ibu, terutamanya ibu tunggal yang berhempas pulas membesarkan anak-anak, kemudian mereka dibunuh begitu sahaja.

"Saya hanya mahukan keadilan untuk anak saya. Tolonglah bantu saya," kata Faith Indeche, ibu kepada Elvis Musavi yang terbunuh semasa demonstrasi.

Setakat Selasa, seramai 11 orang dilaporkan terbunuh dan ratusan lagi cedera, termasuk 52 anggota polis, manakala lebih 500 orang telah ditahan dalam perhimpunan itu.

Perhimpunan ‘Saba Saba’ diadakan setiap 7 Julai kini bertukar menjadi medan protes apabila rakyat Kenya menyuarakan kemarahan terhadap kos sara hidup yang meningkat dan menuntut peletakan jawatan Presiden Ruto.

Pihak berkuasa pula bertindak balas dengan menutup jalan dan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN