fb fb fb fb fb

Kes Pelacuran: Sean Diddy dijatuhi hukuman pada 3 oktober

Pada 3 Julai lalu, dia dibebaskan dari tiga pertuduhan lebih serius iaitu pemerdagangan seks terhadap dua individu dan konspirasi jenayah terancang/Foto fail REUTERS

NEW YORK, 9 Julai – Penyanyi dan komposer terkenal hip hop Amerika, Sean Diddy akan dijatuhkan hukuman pada 3 Oktober selepas disabitkan bersalah atas dua pertuduhan aktiviti pelacuran dan seksual.

Hakim Persekutuan AS, Arun Subramanian menetapkan tarikh itu selepas permintaan peguam Sean Diddy dan persetujuan pendakwa raya.

Sean, 55, yang juga merupakan pengasas syarikat rakaman Bad Boy Records kini masih ditahan di penjara Brooklyn sejak ditangkap pada September tahun lalu.

Pada 3 Julai lalu, dia dibebaskan dari tiga pertuduhan lebih serius iaitu pemerdagangan seks terhadap dua individu dan konspirasi jenayah terancang.

Perbicaraan kes jenayah berprofil tinggi itu berlangsung selama tujuh minggu di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Sean Diddy berdepan dengan hukuman penjara antara 51 hingga 63 bulan (sekitar 4 hingga 5 tahun), mengikut garis panduan persekutuan.

Barisan peguam bela mempunyai masa sehingga 30 Julai untuk memohon agar sabitan dibatalkan, manakala cadangan hukuman akan difailkan selewat-lewatnya 19 September.

Sepanjang perbicaraan, pendakwa raya mendakwa Sean Diddy memaksa dua bekas teman wanitanya iaitu Casandra 'Cassie' Ventura dan seorang wanita dikenali sebagai Jane untuk melakukan hubungan seksual secara paksa dengan pekerja seks lelaki.

Seorang lagi saksi dikenali sebagai Mia turut mendakwa dirinya dicabul berulang kali ketika bekerja dengan Sean Diddy.

Pada 16 September tahun lalu, pelantun lagu I’ll Be Missing You itu ditangkap berhubung dakwaan melakukan aktiviti pemerdagangan seks dan kegiatan haram bagi mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik entiti yang sah - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN