fb fb fb fb fb

Hampir 100 maut dalam serangan terhadap fasiliti penjagaan kesihatan Ukraine

(Foto fail)

GENEVA, 25 Ogos- Terdapat 473 serangan yang disahkan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan di Ukraine sejak pencerobohan Rusia enam bulan lalu, yang telah meragut nyawa hampir 100 orang, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Ketua WHO Eropah, Hans Kluge menyifatkan serangan itu "tidak wajar".

Selain 98 orang yang diketahui terbunuh dalam serangan yang disahkan fasiliti penjagaan kesihatan, sekurang-kurangnya 134 yang lain cedera, angka WHO menunjukkan.

Hampir 400 daripada serangan itu melanda kemudahan kesihatan. Berpuluh-puluh serangan melanda pengangkutan, termasuk ambulans, manakala gudang, bekalan, kakitangan dan pesakit turut rosak.

Wakil WHO di Ukraine, Jarno Habicht berkata jumlah serangan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan tidak pernah berlaku sebelum ini.

(Orang ramai dibantu keluar dari bangunan hospital kanak-kanak yang rosak berikutan
serangan udara Rusia di bandar tenggara Mariupol pada Mac 2022/Fail AFP)

“Serangan ini bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, ia juga menjadi penghalang bagi ramai yang memerlukan penjagaan kesihatan semasa perang,” katanya kepada pemberita di sini, menerusi pautan video dari kubu di Dnipro.

Walaupun perang telah memberi kesan buruk kepada kesihatan dan kehidupan rakyat Ukraine, sistem kesihatan tidak runtuh, kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

"Tetapi tiada sistem yang dapat memberi perkhidmatan kesihatan optimum kepada rakyat bawah tekanan perang, itulah sebabnya kami terus menyeru Persekutuan Rusia untuk menamatkan perang ini," tambah Tedros. -AFP

Media Baharu