(Menteri Dalam Negeri Lubnan Bassam Mawlawi/REUTERS)
BEIRUT, 25 Ogos- Pihak berkuasa Lubnan akan menyiasat rakaman audio yang dikongsi dalam talian mengancam untuk menyerang kedutaan Arab Saudi di Beirut, kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan.
“Berikutan penyebaran rakaman audio mengancam Kedutaan Kerajaan Arab Saudi di Beirut dengan tindakan keganasan, Menteri Dalam Negeri mengarahkan siasatan dijalankan," kata kementerian itu.
Menteri itu juga mengarahkan penahanan mereka yang didapati terbabit dalam ugutan tersebut, tambahnya.
Ali bin Hashem bin Salman Al-Haji, seorang warga Arab Saudi yang dikehendaki oleh Riyadh kerana "jenayah keganasan", disyaki mendalangi rakaman itu.
Menurut sumber keselamatan, dia telah menetap di Lubnan selama bertahun-tahun.
Al-Haji mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan oleh kumpulan pembangkang Saudi dan dihadiri pegawai tinggi Hizbullah, sebuah kumpulan yang disokong oleh Iran, kata sumber itu.
Hubungan Beirut-Riyadh terjejas sejak beberapa tahun lepas apabila pengaruh Hizbullah berkembang.
Insiden terbaharu berlaku beberapa bulan selepas Riyadh mengumumkan kepulangan dutanya ke Beirut, berikutan krisis diplomatik tahun lalu antara Lubnan dengan negara Arab Teluk.
Riyadh juga menggantung import buah-buahan dan sayur-sayuran dari Lubnan pada April tahun lalu, mengatakan penghantaran digunakan untuk penyeludupan dadah dan menuduh Beirut tidak bertindak.
Bulan lalu, seorang penentang Arab Saudi yang tinggal di pinggir selatan Beirut yang dikuasai Hizbullah terbunuh dan dua saudara lelakinya ditahan.
Polis mengenal pasti lelaki itu hanya dengan inisialnya, tetapi sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa ia adalah penentang Maneh al-Yami. -AFP