fb fb fb fb fb

Jepun minta tentera AS tangguh penerbangan

Bot Pengawal Pantai Jepun dan helikopter menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan pesawat tentera AS V-22 Osprey terhempas/REUTERS

TOKYO, 30 November- Jepun berkata ia telah meminta Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan semua penerbangan bukan kecemasan V-22 Osprey ke atas wilayahnya selepas satu pesawatnya terhempas di barat Jepun pada Rabu.

Tentera Udara AS berkata punca kemalangan semasa misi latihan rutin mengorbankan sekurang-kurangnya seorang, kini tidak diketahui. Operasi mencari dan menyelamat untuk mencari baki tujuh kru masih diteruskan.

"Kejadian kemalangan sebegitu menyebabkan keresahan yang besar kepada penduduk di rantau ini... dan kami meminta pihak AS untuk menjalankan penerbangan Ospreys yang ditempatkan di Jepun selepas penerbangan ini disahkan selamat," kata Minoru Kihara di parlimen pada Khamis.

Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF), yang juga mengendalikan Ospreys, akan menangguhkan penerbangan pesawat itu sehingga keadaan kejadian itu dijelaskan, kata seorang lagi pegawai kementerian pertahanan.

Bagaimanapun jurucakap pasukan tentera AS di Jepun tidak segera menjawab perkara tersebut.

"Fokus kami adalah pada operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan, dan kami berdoa agar mereka kembali dengan selamat," kata Rahm Emanuel, duta AS ke Jepun, dalam satu hantaran di X.

Saksi berkata enjin kiri pesawat itu kelihatan terbakar ketika menghampiri lapangan terbang untuk pendaratan cemas dalam cuaca cerah dan angin kencang, lapor media.

Dibangunkan oleh Boeing (BA.N) dan Bell Helicopter, V-22 hibrid, yang boleh mendarat dan berlepas seperti helikopter dan terbang seperti pesawat sayap tetap, dikendalikan oleh Tentera Udara AS, Marin dan Tentera Laut, dan SDF.

Jepun menjadi tuan rumah penumpuan terbesar kuasa tentera AS di luar negara kerana negara itu menempatkan satu-satunya kumpulan penyerang kapal induk AS.

Pada Ogos, Osprey AS terhempas di pantai utara Australia semasa mengangkut tentera semasa latihan ketenteraan rutin dan telah mengakibatkan tiga angota Marin AS terbunuh.

Sebelum ini pernah berlaku satu nahas kerana mendarat di luar pulau selatan Okinawa pada Disember 2016. Berikutan kejadian itu, pesawat tersebut dihentikan sementara oleh tentera AS.

Menurut Kementerian Pertahanan, nahas terakhir pesawat tentera AS yang maut di Jepun ialah pada 2018, apabila berlaku perlanggaran di udara semasa latihan dan telah mengorbankan enam orang.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI