TOKYO, 26 Disember- Kerajaan Jepun pada Jumaat meluluskan bajet rekod berjumlah 122.3 trilion yen (RM3.1 trilion) bagi tahun kewangan yang bermula April 2026, bagi menampung perbelanjaan pertahanan yang lebih besar serta kos keselamatan sosial yang meningkat akibat inflasi berterusan.
Daripada jumlah itu, sekitar 9 trilion yen diperuntukkan untuk pertahanan, dengan Perdana Menteri Sanae Takaichi menyasarkan peningkatan besar-besaran keupayaan tentera Jepun berikutan hubungan tegang dengan China.
Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan negara kini menghadapi "persekitaran keselamatan paling serius dan kompleks sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua" dan menegaskan keperluan untuk "mengukuhkan kemampuan pertahanan secara mendasar".
Bajet tersebut turut merangkumi 100 bilion yen bagi sistem pertahanan pesisir SHIELD, yang menggunakan dron untuk menghalang sebarang pencerobohan tentera asing.
Projek SHIELD dijangka siap menjelang Mac 2028, walaupun lokasi tepat di sepanjang pesisir Jepun masih belum diumumkan.
Jumlah bajet ini meningkat berbanding 115 trilion yen bagi tahun kewangan semasa, yang juga merupakan rekod tertinggi.
Peningkatan perbelanjaan menimbulkan kebimbangan pasaran mengenai kesan dasar perbelanjaan besar Takaichi terhadap hutang awam Jepun, yang kini antara tertinggi berbanding KDNK di kalangan ekonomi utama dunia, dijangka mencecah 232.7 peratus tahun ini menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Awal bulan ini, parlimen Jepun meluluskan bajet tambahan besar bagi menampung pelan rangsangan 21.3 trilion yen yang diumumkan sebulan sebelumnya. Tindakan itu mencetuskan kelemahan nilai yen dan peningkatan hasil bon kerajaan.
Perdana Menteri Takaichi menegaskan kepentingan dasar perbelanjaan besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Beliau menambah bahawa kerajaan komited untuk memastikan kesihatan fiskal negara tanpa penerbitan bon atau potongan cukai yang tidak bertanggungjawab.
Bajet tersebut kini menunggu kelulusan parlimen sebelum dilaksanakan.- AFP