fb fb fb fb fb

Korea Utara perhebat pengeluaran peluru berpandu

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un / Foto AFP

PYONGYANG, 26 Disember- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan peluasan dan pemodenan pengeluaran peluru berpandu negara itu pada tahun depan, termasuk pembinaan lebih banyak kilang senjata bagi memenuhi keperluan ketenteraan yang semakin meningkat, lapor media rasmi pada Jumaat.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), arahan itu dikeluarkan ketika Kim melawat beberapa kilang pembuatan senjata bersama pegawai kanan kerajaan dan tentera.

Kim berkata sektor pengeluaran peluru berpandu dan peluru artileri perlu memenuhi keperluan masa hadapan operasi pasukan peluru berpandu dan artileri negara, sekali gus memerlukan peningkatan kapasiti pengeluaran secara menyeluruh.

“Sektor pengeluaran peluru berpandu dan peluru adalah amat penting dalam memperkukuh keupayaan pencegahan perang,” kata Kim seperti dipetik KCNA.

Korea Utara dilaporkan telah meningkatkan aktiviti ujian peluru berpandu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Penganalisis berpendapat langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan ketenteraan negara itu serta mencabar Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Lawatan Kim ke kilang senjata itu dibuat sehari selepas beliau meninjau sebuah kemudahan pembinaan kapal selam nuklear, di mana beliau menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan Korea Selatan membangunkan kapal selam seumpamanya.

KCNA turut melaporkan Kim telah menyelia ujian pelancaran peluru berpandu anti-pesawat jarak jauh altitud tinggi di perairan Laut Jepun.

Parti Pekerja Korea yang memerintah dijangka mengadakan kongres pertamanya dalam tempoh lima tahun pada awal 2026 bagi merangka pelan pembangunan ekonomi dan ketenteraan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI