fb fb fb fb fb

Kemboja dakwa Thailand tingkatkan serangan di sempadan ketika rundingan damai berlangsung

Penduduk meninjau jambatan rosak selepas Thailand melancarkan serangan udara di kawasan antara wilayah Oddar Meanchey dan Siem Reap, Kemboja, pada 20 Disember 2025/ Foto AFP

PHNOM PENH, 26 Disember – Kemboja pada Jumaat menuduh Thailand meningkatkan serangan ketenteraan di kawasan sempadan yang dipertikaikan, walaupun pegawai kedua-dua negara sedang mengadakan rundingan selama beberapa hari bagi menamatkan pertempuran berdarah yang berlarutan.

Konflik sempadan lama antara dua negara jiran itu kembali memuncak bulan ini, sekali gus memusnahkan gencatan senjata terdahulu.

Menurut angka rasmi, lebih 40 orang terkorban manakala kira-kira satu juta penduduk terpaksa dipindahkan akibat pertempuran tersebut.

Pegawai Kemboja dan Thailand kini berada dalam hari ketiga rundingan di sebuah pusat pemeriksaan sempadan, dengan menteri pertahanan kedua-dua negara dijadualkan bertemu pada Sabtu.

Namun, Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa tentera Thailand melancarkan pengeboman berat pada pagi Jumaat di kawasan sempadan yang dipertikaikan di wilayah Banteay Meanchey.

“Antara pukul 6.08 pagi hingga 7.15 pagi, tentera Thailand menggunakan jet pejuang F-16 untuk menggugurkan sehingga 40 bom bagi meningkatkan serangan di kawasan Kampung Chok Chey,” menurut kenyataan kementerian itu.

Sementara itu, media Thailand melaporkan bahawa tentera Kemboja telah melancarkan serangan sepanjang malam di wilayah Sa Kaeo, menyebabkan beberapa rumah rosak akibat tembakan artileri.

Kedua-dua negara saling menyalahkan antara satu sama lain atas tercetusnya pertempuran terbaru itu. Kemboja dan Thailand masing-masing mendakwa tindakan mereka adalah bagi mempertahankan diri serta menuduh pihak lawan menyerang orang awam.

Amerika Syarikat, China dan Malaysia sebelum ini telah menjadi perantara bagi satu gencatan senjata pada Julai lalu selepas lima hari pertempuran maut, namun perjanjian itu gagal bertahan lama.

Pada awal Jumaat, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, memaklumkan melalui Facebook bahawa beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.

Kedua-duanya membincangkan “usaha untuk menjamin gencatan senjata di sepanjang sempadan Kemboja–Thailand”.

Konflik ini berpunca daripada pertikaian wilayah berhubung penandaan sempadan sepanjang 800 kilometer yang ditetapkan pada era penjajahan, termasuk beberapa runtuhan kuil purba yang terletak di kawasan berkenaan.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI