TOKYO, 18 Mei - Jepun akan menjalankan "ujian pelancongan" dalam bentuk lawatan pakej terhad, bermula akhir bulan ini untuk mendapatkan maklumat menjelang pembukaan sepenuhnya negara itu kepada pelancongan.
Pelancongan adalah antara aspek utama dalam ekonomi Jepun, namun pelancong masih belum dibenarkan masuk sejak negara itu melaksanakan kawalan sempadan ketat pada 2020, ketika permulaan pandemik COVID-19.
Agensi Pelancongan Jepun berkata, kerajaan akan mula membenarkan kumpulan kecil pelancong untuk masuk ke negara itu bermula hujung bulan ini sebagai 'kajian kes' untuk mendapat maklumat sebagai persediaan sebelum sektor itu dibuka sepenuhnya nanti.
"Langkah ini akan membolehkan kita mengenal pasti pematuhan dan tindak balas kecemasan untuk kawalan jangkitan, serta menggubal peraturan untuk agensi pelancongan dan pengendali kemudahan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pelancong yang sudah menerima tiga dos vaksin dan tiba dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand dan Singapura akan dibenarkan masuk, namun perjalanan mereka perlu dirancang sepenuhnya bersama agensi pelancongan, selain ditemani pemandu pelancong pada setiap masa.-AFP