SEOUL, 4 Disember -Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengalu-alukan keputusan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menarik semula pelaksanaan undang-undang tentera atau darurat beberapa jam selepas beliau sendiri mengumumkan pelaksanaannya.
“Kami mengalu-alukan kenyaatan dibuat Presiden Suk Yeol, membatalkan perintah mengisytiharkan undang-undang tentera mengikut Perlembagaan ROK, selepas Dewan Negara mengundi secara sebulat suara menolak pengisytiharan undang-undang itu," kata Blinken.
Blinken menambah, AS menjangka “perselisihan politik semasa akan diselesaikan secara aman” dan menegaskan bahawa Washington akan terus membantu sekutunya itu.
Suk Yeol terpaksa membatalkan pelaksanaan singkat undang-undang tentera pada Rabu selepas ahli parlimen negara itu berjaya menentang pelaksanaan undang-undang tersebut dan ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan.
Terdahulu, White House ada mengelurkan kenyataan bahawa AS berasa “lega”, apabila Yoon membatalkan pengisytiharan itu, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS.
Pentadbiran Presiden Joe Biden berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal pengumuman Suk Yeol itu dan menyalahkan pembangkang kerana mengancam demokrasi negara.
ARTIKEL BERKAITAN
- Krisis Korea Selatan: Helikopter tentera berlegar sekitar bangunan Parlimen
- Krisis Korea Selatan: Penunjuk perasaan desak Presiden Yoon letak jawatan
- Rakyat Malaysia di Korea Selatan dinasihat daftar E-Konsular
- Korea Selatan mansuh undang-undang tentera atas desakan Dewan Negara
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berkata Tokyo memantau rapat situasi di Korea Selatan itu meski menyifatkannya sebagai satu “kebimbangan luar biasa dan serius”.
Menurut Ishiba, Tokyo belum menerima "sebarang laporan atau maklumat menyatakan bahawa rakyat Jepun (yang tinggal di Korea Selatan) cedera."
Bercakap kepada pemberita di pejabtnya, Ishiba menambah bahawa kerajaan akan “mengambil semua langkah perlu” bagi memastikan keselamatan warganya di Korea Selatan termasuk mengeluarkan amaran melalui e-mel pejabat konsulat.
Tindakan Presiden Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera buat pertama kali dalam tempoh lebih empat dekad, menyebabkan Korea Selatan terjerumus dalam kekacauan politik paling buruk dalam sejarah demokrasi moden negara itu, selain mengejutkan sekutu rapatnya di seluruh dunia.
Perkembangan itu juga menyebabkan masa depan Suk Yeol -- ahli politik konservatif dan bekas pendakwa raya terkenal yang dipilih sebagai presiden pada 2022 -- dalam bahaya.
Dilaporkan sebelum keputusan Suk Yeol menarik semula pelaksanaan undang-undang tentera itu, ahli parlimen parti pembangkang utama Korea Selatan dikatakan melompat pagar dan bertempur dengan pasukan keselamatan.
TIndakan itu bagi membolehkan mereka mengundi sekali gus menolak undang-undang darurat itu, seterusnya mendesak presiden meletak jawatan atas cubaan ‘pemberontakan’.