fb fb fb fb fb

Tentera Sudan dakwa berjaya gagalkan serangan RSF di Babanusa

Foto AFP

PORT SUDAN, 26 November – Tentera Sudan mendakwa berjaya menangkis serangan kumpulan Rapid Support Forces (RSF) di bandar strategik Babanusa, selatan Kordofan, pada Selasa, hanya sehari selepas RSF mengumumkan gencatan senjata unilateral atau sebelah pihak selama tiga bulan.

Dalam satu kenyataan, tentera yang bergolak dengan RSF sejak April 2023 itu berkata, anggota mereka telah “mematahkan serangan” ke atas sebuah pangkalan infantri di Babanusa, yang kini merupakan kubu terakhir tentera di negeri Kordofan Barat.

Babanusa terletak di laluan penting yang menghubungkan wilayah tersebut ke Darfur, lokasi tentera Sudan kehilangan pangkalan terakhirnya di bandar El-Fasher bulan lalu.

Menurut tentera, beberapa kenderaan RSF berjaya dimusnahkan dan dirampas, manakala beberapa komander lapangan kumpulan itu didakwa terbunuh bersama “ratusan tentera upahan”.

Dakwaan tersebut bagaimanapun tidak dapat disahkan secara rasmi berikutan gangguan komunikasi yang berlarutan di seluruh wilayah Kordofan.

Pada Isnin, RSF mengumumkan gencatan senjata sebagai “tindak balas kepada usaha antarabangsa, termasuk inisiatif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta kumpulan pengantara antarabangsa dikenali sebagai Quad, terdiri daripada Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

Bagaimanapun, Menteri Penerangan Khalid al-Aiser menyifatkan pengumuman RSF itu sebagai “helah politik yang jelas”, beberapa hari selepas Panglima Tentera, Abdel Fattah al-Burhan, menuduh Quad bersikap berat sebelah.

Utusan khas Amerika Syarikat ke Afrika, Massad Boulos, turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah menolak cadangan gencatan senjata terbaharu.

Sejak konflik berlarutan lebih dua tahun, semua rundingan damai dan perjanjian gencatan senjata berulang kali gagal dipatuhi kedua-dua pihak.

Tumpuan antarabangsa terhadap konflik itu meningkat selepas RSF menawan El-Fasher bulan lalu selepas kepungan selama 18 bulan, yang mencetuskan laporan mengenai kekejaman dan risiko pembunuhan beramai-ramai.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pola keganasan yang sama kini mula berlaku di wilayah Kordofan.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP