ISLAMABAD, 26 November - Pakistan menafikan dakwaan pentadbiran Taliban di Kabul bahawa serangan udara oleh angkatan tenteranya telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 orang maut di timur Afghanistan pada malam Isnin.
Penafian tersebut dibuat oleh jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, sambil menyifatkan tuduhan Taliban itu sebagai tidak berasas.
"Serangan kami adalah menentang pengganas, bukan rakyat Afghanistan," kata Ahmed Sharif, sekali gus menegaskan bahawa tiada rundingan akan diadakan dengan Kabul sehingga Taliban mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengganas yang beroperasi dari Afghanistan.
Terdahulu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, mendakwa pasukan tentera Pakistan menyerang sebuah rumah kediaman di daerah Gorbuz, wilayah Khost, yang mengorbankan sepuluh orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
"Serangan udara juga berlaku di Kunar dan Paktika, menyebabkan empat orang awam cedera," tambah Mujahid menerusi satu hantaran di laman X.
Mujahid turut mengutuk tindakan itu yang disifatkannya sebagai satu bentuk pencerobohan langsung terhadap kedaulatan Afghanistan.- REUTERS