fb fb fb fb fb

PBB mulakan proses pemilihan Setiausaha Agung baharu

Foto REUTERS

NEW YORK, 26 November – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memulakan secara rasmi proses pemilihan Setiausaha Agung baharu apabila negara anggota diminta mencalonkan individu bagi menggantikan Antonio Guterres mulai 1 Januari 2027.

Dalam satu surat rasmi yang dikeluarkan secara bersama, Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai 15 negara dan presiden Perhimpunan Agung PBB yang mewakili 193 negara, memulakan proses pencalonan untuk jawatan tertinggi pentadbiran badan dunia itu.

Melalui surat berkenaan, kedua-dua badan tersebut turut menzahirkan rasa kesal kerana belum pernah ada wanita yang memegang jawatan Setiausaha Agung sejak penubuhan PBB.

"Menyedari keperluan memastikan peluang sama rata antara wanita dan lelaki dalam akses kepada jawatan pembuat keputusan tertinggi, negara anggota digalakkan untuk mempertimbangkan pencalonan wanita," menurut isi kandungan surat itu, selain menekankan kepentingan kepelbagaian serantau dalam proses pemilihan.

Majlis Keselamatan akan membuat syor rasmi kepada Perhimpunan Agung untuk melantik Setiausaha Agung ke-10 pada tahun depan, dengan beberapa calon sudah tampil secara terbuka menyatakan hasrat.

Antaranya ialah bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet; bekas Naib Presiden Costa Rica, Rebeca Grynspan; dan diplomat Argentina yang juga Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi.

Walaupun banyak nama mungkin diketengahkan, pemilihan akhir tetap memerlukan persetujuan sebulat suara daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan yang memiliki kuasa veto, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Britain, China dan Perancis.- REUTERS

EZA YUSMAWATI YAACOP