fb fb fb fb fb

Jepun bersiap sedia hadapi Taufan Nanmadol

(Seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun memberi taklimat mengenai Taufan Nanmadol /AFP)

TOKYO, 17 September- Agensi cuaca Jepun mengeluarkan amaran mengenai risiko taufan "sangat berbahaya" menuju selatan pulau Kyushu dan menggesa penduduk supaya berlindung sebelum ia membadai.

Taufan Nanmadol menghasilkan angin ribut sehingga 270 kilometer sejam dan diklasifikasikan sebagai ribut "ganas", peringkat tertinggi.

Menjelang lewat petang ia menghampiri pulau Minami Daito yang terpencil, 400 kilometer ke timur pulau Okinawa.

Ribut itu dijangka menghampiri atau mendarat pada hari Ahad di wilayah Kagoshima selatan Kyushu, kemudian bergerak ke utara pada hari berikutnya sebelum menuju pulau utama Jepun.

"Terdapat risiko ribut yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ombak tinggi, lonjakan ribut dan rekod hujan," kata Ketua Unit Ramalan Agensi Meteorologi Jepun, Ryuta Kurora kepada pemberita.

“Kewaspadaan maksimum diperlukan,” katanya sambil menggesa penduduk berpindah lebih awal.

"Ia adalah taufan yang sangat berbahaya."

Kurora berkata agensi cuaca berkemungkinan mengeluarkan amaran tertingginya hari ini untuk wilayah Kagoshima.

"Angin akan menjadi sangat kencang sehingga beberapa rumah mungkin runtuh dan berlaku banjir serta tanah runtuh.

Menjelang ketibaan Taufan Nanmadol, pembatalan penerbangan mula menjejaskan lapangan terbang serantau termasuk di Kagoshima, Miyazaki dan Kumamoto, menurut laman web Japan Airlines dan All Nippon Airways. -AFP

(Agensi cuaca Jepun pada 17 September 2022, memberi amaran tentang taufan "sangat
berbahaya" menuju ke pulau Kyushu di selatan negara itu/AFP)

Media Baharu