fb fb fb fb fb

India mulakan projek penempatan semula cheetah antara benua

(Kelapan-lapan cheetah merupakan sumbangan daripada kerajaan Namibia/AFP)

NEW DELHI, 17 September- Lapan ekor cheetah Namibia tiba di India, beberapa dekad selepas kepupusan di negara itu.

Ia sebahagian projek bercita-cita tinggi kerajaan untuk memperkenalkan semula kucing besar berbintik itu di negara berkenaan.

Pegawai berkata projek itu adalah penempatan semula cheetah antara benua pertama di dunia, haiwan darat terpantas di planet ini.

Kelapan-lapan cheetah merupakan sumbangan daripada kerajaan Namibia.

Lima ekor betina dan tiga jantan dipindahkan dari taman rekreasi di Namibia menaiki pesawat sewaan Boeing 747 yang digelar "pesawat Kucing" untuk penerbangan selama 11 jam.

Perdana Menteri, Narendra Modi mengetuai acara pelepasan haiwan itu di Taman Negara Kuno, tempat perlindungan hidupan liar yang terletak 320 kilometer di selatan New Delhi.

“Hari ini cheetah telah kembali ke tanah India,” kata Modi dalam ucapan video selepas ketibaan pesawat tersebut, yang bertepatan dengan ulang tahun ke-72 pemimpin itu.

"Kesedaran cintakan alam semula jadi di India juga telah bangkit dengan kekuatan penuh.

"Kita tidak boleh membiarkan usaha kita gagal," katanya.

(India mulakan projek penempatan semula cheetah antara benua/AFP)

Setiap haiwan berumur dua hingga lima setengah tahun itu, telah dipasang dengan kolar satelit untuk memantau pergerakan mereka.

Mereka pada mulanya akan disimpan di dalam kandang kuarantin selama kira-kira sebulan sebelum dilepaskan di kawasan hutan terbuka.

India pernah menjadi rumah kepada cheetah Asiatik tetapi ia telah diisytiharkan pupus di negara itu menjelang 1952.

Subspesies yang sangat terancam, yang pernah berkeliaran di seluruh Asia Barat, Asia Tengah dan India, kini hanya ditemui dalam jumlah yang sangat kecil, di Iran.

Usaha untuk memperkenalkan semula cheetah ke India semakin dipercepat pada 2020 apabila Mahkamah Agung memutuskan bahawa cheetah Afrika, boleh ditempatkan di India di "lokasi yang dipilih dengan teliti" secara eksperimen.

Cheetah telah pupus di India terutamanya disebabkan kehilangan habitat dan aktiviti berburu.

Seorang putera India, Maharaja Ramanuj Pratap Singh Deo, dipercayai telah membunuh tiga ekor cheetah terakhir di India pada akhir 1940-an. -AFP

Media Baharu