fb fb fb fb fb

Dua bekas presiden Panama didakwa terbabit skandal rasuah

(Pendakwa raya berkata Ricardo Martinelli menubuhkan 'seluruh
struktur haram' untuk mengutip rasuah/AFP)

BANDARAYA PANAMA, 17 September- Pendakwa raya Panama mendakwa bekas presiden Ricardo Martinelli dan Juan Carlos Varela atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan syarikat pembinaan gergasi Odebrecht.

Kedua-dua lelaki itu, yang secara kolektif mengetuai Panama antara 2009 hingga 2019, bagaimanapun tidak hadir perbicaraan mahkamah.

Pendakwa raya menuduh pasangan itu menggunakan syarikat hadapan dan akaun bank asing untuk menerima dana daripada Odebrecht antara 2008 hingga 2014.

Kira-kira 50 orang lain turut terbabit dalam pertuduhan itu, termasuk beberapa bekas menteri, kata pendakwa raya.

(Juan Carlos Varela ialah salah seorang daripada dua bekas presiden Panama yang didakwa
melakukan pengubahan wang haram daripada gergasi pembinaan Odebrecht/AFP)

Pada 2016, Odebrecht mengaku bersalah di Nahkamah Brooklyn atas pertuduhan membayar lebih daripada AS$788 juta sebagai rasuah kepada pegawai kerajaan dan parti politik terutamanya di Amerika Latin, untuk memenangi kontrak infrastruktur.

Syarikat Brazil itu mengaku membayar rasuah bernilai AS$59 juta di Panama sebagai pertukaran kontrak untuk membina kerja awam.

Antara projek mega Odebrecht ialah membina dua laluan metro Panama, membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen dan beberapa laluan di persiaran Panama City.

Ia membuat bayaran lebih tinggi daripada sepatutnya kepada kerajaan Panama untuk beberapa projek, menurut Pejabat Pendakwa Raya.

Varela, yang mengetuai Panama dari 2014 hingga 2019, adalah yang pertama daripada dua bekas ketua negara yang dituduh manakala parti sayap kanan Panamenistanya dituduh menerima AS$10 juta daripada Odebrecht.

Varela menafikan pertuduhan itu.

Martinelli, presiden dari 2009 hingga 2014 dan ahli perniagaan yang berjaya, juga dituduh menerima wang secara haram daripada Odebrecht.

Dia "sepenuhnya mengetahui sumber dana itu yang tidak sah" dan malah telah menubuhkan "seluruh struktur haram" untuk mengutip rasuah, kata pendakwa raya.

Dua daripada anak lelaki Martinelli, yang kedua-duanya dipenjarakan di AS selepas diekstradisi dari Guatemala, telah mengaku bersalah menerima AS$28 juta daripada Odebrecht. -AFP

Media Baharu