fb fb fb fb fb

Jepun bakal sertai latihan tentera di Indonesia buat pertama kali

(Kedua-dua pemimpin, Jokowi (kiri) dan Kishida (kanan) bersetuju untuk
mempertingkatkan kerjasama pertahanan di rantau Indo-Pasifik/REUTERS)


TOKYO, 27 Julai- Pasukan pertahanan Jepun akan mengambil bahagian buat kali pertama dalam latihan ketenteraan di Indonesia bulan depan bersama Amerika Syarikat dan Australia, kata Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada selepas perbincangan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Kishida menyambut Presiden Indonesia Joko Widodo ke ibu kota Tokyo pada pagi Rabu, di mana kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan di rantau Indo-Pasifik.

Jepun baru-baru ini memberikan penekanan diplomatik yang berat untuk mengekalkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dengan Kishida melawat wilayah itu, termasuk Indonesia, awal tahun ini.

Kishida menggesa agar bidang keselamatan maritim di rantau itu diperkukuhkan sedang kedua-dua negara mengesahkan lagi kerjasama bagi memastikan Indo-Pasifik bebas dan terbuka.

"Untuk kawasan Indo-Pasifik tahun depan, Indonesia akan menjadi pengerusi ASEAN dan Jepun akan menjadi pengerusi G-7.

"Kami akan terus menyelaras dalam merangka agenda utama untuk menyumbang kepada kedamaian dan kesejahteraan di rantau ini dan di dunia," ujar Jokowi.

Kedua-dua pihak juga telah bersetuju terhadap perubahan pada Perjanjian Kerjasama Ekonomi Indonesia-Jepun, yang dijadual dimeterai semasa Sidang Puncak Pemimpin G20 pada November ini.

Selain itu, Jepun akan mengikrarkan pinjaman lebih AS$300 juta kepada Indonesia bagi projek-projek prasarana dan usaha pencegahan bencana.

Dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Fumio Kishida di Tokyo Presiden Jokowi mengalu-alukan pelaburan Jepun di Indonesia.

(Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida ketika sidang media bersama dengan
 Presiden Indonesia Joko Widodo/REUTERS)

"Kami terus mengharapkan sokongan pengetahuan dan teknologi baru Jepun untuk menyokong beberapa projek strategik di Indonesia, terutamanya bagi hiliran komoditi semula jadi, penghasilan kereta dan motosikal elektrik serta sektor kesihatan dan makanan," kata Presiden Jokowi.

Presiden Jokowi berkata Indonesia sudahpun menarik balik segala sekatan terhadap produk makanan Jepun yang diimport ke negara itu.

Sekatan itu dikuatkuasakan menyusuli krisis nuklear Fukushima pada 2011.

Rundingan semula mengenai perjanjian itu, yang dimuktamadkan pada 2007, bertujuan untuk meluaskan akses kepada pasaran Jepun dan mengurangkan tarif.

"Saya meminta Jepun menyokong pengurangan tarif ke atas beberapa produk seperti tuna, pisang, nanas, dan akses pasaran kepada produk mangga," kata Jokowi.

Import Indonesia dari Jepun berjumlah A$9.2 bilion pada 2020, manakala eksportnya ke Jepun berjumlah A$14.5 bilion, menurut data IMF yang disusun oleh Refinitiv.

Kementerian ekonomi Indonesia berkata bahawa pembuat kereta Jepun Toyota Motor Corp merancang untuk melabur 27.1 trilion rupiah (A$1.8 bilion) di Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menghasilkan kenderaan elektrik.

Ketua Menteri Ekonomi Indonesia berkata Mitsubishi Motors Corp merancang untuk melabur kira-kira 10 trilion rupiah di Indonesia antara 2022 dan 2025.

Jokowi akan bertemu Maharaja Naruhito pada hari Rabu.-REUTERS

Media Baharu