fb fb fb fb fb

AS perlu “tanggung kesan” jika Pelosi melawat Taiwan - China

(Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam sidang media di Beijing)

BEIJING, 27 Julai- China memberi amaran bahawa Washington perlu “menanggung kesan atau akibat” sekiranya Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi melawat Taiwan, memandangkan pertikaian semakin meningkat antara kedua-dua negara.

“Kami dengan tegas menentang lawatan Speaker Pelosi ke Taiwan,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam sidang media biasa.

“Jika AS tetap meneruskan rancangan dan melanggar masalah utama (bottom line) China, pihak AS akan menanggung semua kesan atau akibat yang timbul daripada tindakan itu," tambahnya.

Wilayah demokratik Taiwan itu berdepan ancaman diceroboh China yang menganggap pulau itu sebagai sebahagian wilayah China dan boleh dirampas secara paksa jika perlu.

Berita berkaitan
China sedia mulakan perang dengan AS, jika Taiwan mahu isytihar kemerdekaan
Taiwan batal perjanjian beli helikopter antikapal selam AS
China beri amaran keras kepada AS jika teruskan lawatan ke Taiwan

Rancangan lawatan Nancy Pelosi yang belum disahkan oleh pegawai kanan Demokrat -- telah mencetuskan kebimbangan dalam pentadbiran Presiden Joe Biden, yang bimbang perjalanan itu mungkin melepasi ‘garis merah’ China.

Situasi itu berlaku dalam tempoh genting tatkala Presiden Xi Jinping, pemimpin paling berkuasa China dalam beberapa dekad, dilaporkan bersedia untuk mengukuhkan pemerintahannya pada mesyuarat akhir tahunan parti pimpinannya.

Minggu lalu, Pelosi memberitahu pemberita adalah “penting bagi kami menunjukkan sokongan kepada Taiwan,” sambil menafikan Kongres ada mendesak kemerdekaan untuk pulau itu.

Hakikat semasa, Taiwan menikmati sokongan dwipartisan di Washington yang berpecah belah manakala amaran China hanya menyemarakkan gesaan agar Pelosi meneruskan rancangannya. -AFP


(Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi/AFP)

Media Baharu