fb fb fb fb fb

Jokowi dan Xi Jinping perkukuhkan kerjasama ekonomi

(Pertemuan dua hala Presiden Indonesia Joko Widodo dan
Presiden China Xi Jinping di Beijing, China/REUTERS)


JAKARTA, 27 Julai- Indonesia dan China akan mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara malah di peringkat serantau dan dunia.

Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden China Xi Jinping menyuarakan komitmen itu semasa mengadakan pertemuan  di Villa 14, Rumah Tamu Diaoyutai di Beijing pada Selasa.

Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi berada di China sempena lawatan ke tiga negara di Asia timur.

Dalam pertemuan berkenaan beliau turut membincangkan isu serantau dan global dengan rakan sejawatannya dari China itu.

"Sebagai ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia mempunyai kedudukan penting bagi China dan rantau ini," kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dalam kenyataannya selepas pertemuan itu.

Presiden Xi menyatakan penghargaan atas sumbangan Jokowi selaku  Presiden Negara Kumpulan 20 (G20) dalam usaha memulihkan keamanan global dan keadaan kemanusiaan seperti yang dapat dilihat menerusi lawatannya ke Kyiv, ibu negara Ukraine dan Moscow, Rusia baru-baru ini.

“Lawatan itu menurut Presiden Xi memperlihatkan tanggungjawab Indonesia sebagai sebuah negara besar,” katanya.

((Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden China Xi Jinping 
bergambar semasa pertemuan mereka di Beijing, China/REUTERS)



Indonesia kini memegang kerusi Presiden G20 dan bakal Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Perbincangan kedua-dua pemimpin juga menjurus kepada kepentingan kerjasama konkrit dan saling menguntungkan di bawah Inisiatif Pembangunan Global (GDI).

"Jika kerjasama konkrit dapat dizahirkan, dijangkakan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di negara membangun akan menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata hal berkaitan G20 dan ASEAN turut menjadi tumpuan dan Indonesia komited untuk menjadikan ASEAN bukan sahaja relevan buat rakyat Indonesia malah kepada rantau ini dan dunia.

Semasa mesyuarat dua hala, Presiden Jokowi, Perdana Menteri China Li Keqiang, dan Presiden Xi Jinping memeterai tujuh perjanjian iaitu pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) mengenai Global Maritime Fulcrum dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta mengenai vaksin kerjasama penyelidikan dan pembangunan genomik.

Selain itu turut dimeterai MoU mengenai pembangunan hijau, pengaturan kerjasama marin, protokol eksport nanas Indonesia, pengaturan kerjasama pertukaran maklumat dan penguatkuasaan pelanggaran kastam, dan pelan tindakan mengenai keselamatan siber serta kerjasama pembangunan kapasiti teknologi.

Jokowi akan berlepas ke Jepun hari ini dan dijangka bertemu Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Beliau turut dijadual bertemu Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako sebelum meneruskan lawatan ke Korea Selatan pada Khamis.

Di Korea Selatan Jokowi dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Yoon Suk-yeol.-BERNAMA

Media Baharu