GYEONGJU, 1 November – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kanada, Mark Carney, pada Sabtu di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 yang sedang berlangsung di Korea Selatan.
Pertemuan itu diadakan dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara, selain membincangkan kerjasama ekonomi serantau.
Sejak memegang jawatan minggu lalu, Takaichi dilihat aktif mengukuhkan hubungan diplomatik dan membina jaringan peribadi dengan pemimpin dunia.
Sebelum ke Korea Selatan, beliau menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Tokyo bagi meredakan ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara.
Pada Jumaat, Takaichi turut mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, di Gyeongju sebagai sebahagian daripada usaha Jepun memperkukuh diplomasi serantau.
Jepun dan Kanada, yang sama-sama merupakan anggota Kumpulan Tujuh (G7), kini bekerjasama dalam pakatan pengeluaran mineral kritikal bagi mengurangkan dominasi China dalam sektor tersebut. -REUTERS