fb fb fb fb fb

APEC sepakat lulus tiga perjanjian baharu berkaitan AI, perubahan demografi

Foto REUTERS

SEOUL, 1 November – Para pemimpin negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) berjaya mencapai kata sepakat berhubung isu perdagangan dan pelaburan, dengan meluluskan tiga perjanjian utama berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan perubahan demografi, termasuk Deklarasi Gyeongju.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung berkata kesepakatan itu dicapai dengan lancar sepanjang sidang yang berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan.

Dalam sidang media selepas mesyuarat, Lee menyatakan keyakinan bahawa Korea Selatan mampu mengatasi cabaran dalam hubungan dengan China, sambil berharap Beijing akan memainkan peranan lebih besar dalam menangani isu Korea Utara.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, pada hari yang sama.

Lee turut menegaskan, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai rakan terpenting dalam usaha membina hubungan damai dengan Korea Utara, meskipun China dan Rusia turut memainkan peranan tersendiri dalam rantau itu.

Menurutnya, hubungan Korea Selatan dengan Jepun juga semakin baik selepas pertemuan pertamanya dengan Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, minggu ini.

Hubungan antara Seoul dan Tokyo sebelum ini beberapa kali tegang disebabkan isu sejarah, diplomatik dan ekonomi yang berpunca daripada penjajahan Jepun ke atas semenanjung Korea antara tahun 1910 hingga 1945. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN