fb fb fb fb fb

AS belum putuskan tindakan ketenteraan di Venezuela

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump/AFP

WASHINGTON, 1 November -Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan darat di Venezuela, sambil menolak laporan media yang mendakwa serangan terhadap kemudahan tentera negara itu akan berlaku dalam masa terdekat, lapor Xinhua.

“Tidak, itu tidak benar,” kata Trump kepada pemberita ketika menaiki pesawat Air Force One apabila ditanya sama ada beliau telah membuat keputusan berhubung perkara itu.

Terdahulu, portal "Miami Herald" melaporkan bahawa pentadbiran Trump memutuskan untuk melancarkan serangan terhadap kemudahan tentera di Venezuela yang dijangka berlaku “dalam beberapa hari atau bahkan jam akan datang.”

Sejak 2 Sept, pasukan tentera AS menenggelamkan 15 kapal di perairan antarabangsa di Caribbean dan timur Pasifik yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah, mengakibatkan sekurang-kurangnya 61 kematian.

Pegawai Pentagon mengakui mereka tidak mengetahui identiti semua individu yang terbunuh dalam serangan itu semasa sesi taklimat tertutup oleh sebuah panel di Dewan Perwakilan pada Khamis, menurut laporan media AS yang memetik ahli-ahli Kongres Demokrat yang hadir.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kehadiran tentera AS di Caribbean meningkat ke tahap tertinggi dalam tempoh tiga dekad.

“Pentadbiran Trump menjelaskan bahawa mereka mungkin melancarkan tindakan ketenteraan di dalam wilayah Venezuela dan tidak akan berhenti sekadar serangan ke atas bot di Caribbean,” kata Senator Demokrat Adam Schiff dalam kenyataan pada 17 Okt.

Presiden Venezuela Nicolas Maduro berulang kali mengecam tindakan Washington sebagai usaha untuk menggulingkan kerajaannya dan memperluas pengaruh ketenteraan AS di Amerika Latin.

Awal bulan ini, Presiden Colombia Gustavo Petro menuduh kerajaan AS melakukan “pembunuhan” susulan serangan tenteranya di laut. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF