fb fb fb fb fb

Jarang-jarang berlaku, selesema burung dikesan pada manusia

FOTO AFP



LONDON, 15 Januari - Satu kes selesema burung dikesan menjangkiti seorang individu di barat daya England, tatkala negara itu berhadapan wabak terbesar H1N1.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) berkata, transmisi virus daripada burung kepada manusia amat jarang berlaku walaupun terdapat beberapa kes dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, individu berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sedang menjalani kuarantin kendiri.

"Individu itu mendapat jangkitan setelah terdedah secara rapat dan berterusan kepada banyak burung yang dijangkiti dan disimpan di sekitar kawasan kediamannya untuk tempoh yang lama.

Semua kenalan individu itu, termasuk mereka yang melawat premis berkenaan telah dikesan dan tiada bukti penularan virus itu kepada orang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Agensi itu menyatakan, risiko manusia dijangkiti selesema burung kekal sangat rendah, tetapi orang ramai diingatkan supaya tidak menyentuh burung yang sakit atau mati.

Britain memusnahkan kira-kira setengah juta burung tahun lepas, ketika negara itu bergelut dengan wabak selesema burung terbesar yang pernah direkodkan.

Selain aktiviti pemusnahan, kerajaan mengetengahkan peraturan baharu pada Disember lalu supaya penternak menempatkan semua burung di dalam kawasan bertutup dan mematuhi peraturan keselamatan yang ketat bagi membendung virus tersebut.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan, burung liar yang berhijrah dari tanah besar Eropah semasa musim sejuk berkemungkinan membawa wabak itu.

Itik dan angsa adalah antara spesies burung liar yang terjejas, manakala beberapa burung pemangsa juga disahkan mati. - AFP

Media Baharu