fb fb fb fb fb

Kerajaan Thailand yakin rundingan damai akan tamatkan konflik di wilayah selatan

FOTO: BERNAMA

PHUKET, 16 Januari - Kerajaan Thailand kekal komited untuk mencari penyelesaian berkekalan untuk menamatkan konflik di wilayah selatan negara itu dan menjangkakan perkembangan positif dalam tempoh dua tahun akan datang.

Rundingan bersemuka di Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Januari baru-baru ini selepas hampir dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19 berjalan lancar dengan kedua-dua pihak menunjukkan “sikap mesra”, menurut wakil kerajaan Thailand, Jeneral Wanlop Rugsanaoh yang juga ketua perunding.

Turut terlibat dalam rundingan itu ialah kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator.

Dalam satu sidang media di sini, malam tadi, Wanlop menjelaskan kedua-dua pihak bersetuju mengadakan mesyuarat rundingan damai setiap dua hingga tiga bulan.

Namun ia bergantung pada situasi COVID-19.

“Kami juga setuju penyertaan daripada semua sektor dan pihak berkaitan agar dapat mencari penyelesaian secara damai dan menamatkan konflik di wilayah selatan Thailand,” katanya.

Wanlop berkata sejak perbincangan pertama dengan BRN pada tahun 2019, kedua-dua pihak kini menunjukkan kepercayaan yang lebih tinggi.

“Perbincangan kali ini telah mencapai kemajuan yang sangat baik dan dijangka membawa kepada perumusan topik. Ini langkah penting dalam proses perbincangan.

“Akan terdapat kemajuan yang lebih konkrit khususnya dalam usaha mengurangkan keganasan,” katanya.

Dalam rundingan damai kali ketiga antara BRN dengan kerajaan Thailand yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur, kedua-dua pihak bersetuju dengan tiga prinsip yang akan menjadi perkara utama dalam mesyuarat rundingan damai akan datang iaitu pengurangan tindakan kekerasan kedua-dua belah pihak, konsultasi awam dan solusi politik.

 

Media Baharu