FOTO: AFP
NUKU'ALOFA, 16 JANUARI - Ombak besar melanda Tonga, selepas letusan kuat gunung berapi yang turut mencetuskan tsunami kedua di negara itu.
Biro Meteorologi Australia melaporkan gelombang tsunami setinggi 1.2 meter direkodkan di sini.
Letusan terbaharu gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai itu berlaku hanya beberapa jam selepas amaran tsunami pertama, ditarik balik semalam.
Letusan kuat umpama guruh itu dikatakan turut kedengaran sehingga ke Fiji.
Penduduk Tonga yang ketakutan melarikan diri ke tempat lebih tinggi bagi menyelamatkan diri.
Ketua Perkhidmatan Geologi Tonga, menggesa orang ramai supaya berlindung di dalam rumah, memakai pelitup muka jika berada di luar dan menutup sistem takungan air hujan.
Sementara itu, Raja Tonga, Tupou VI, dilapor sudah dipindahkan dari Istana Diraja oleh konvoi polis yang membawanya ke sebuah vila yang jauh dari kawasan pantai.