NUR-SULTAN, 16 Januari - Rusuhan di Kazakhstan yang bermula dengan demonstrasi aman membantah kenaikan harga bahan bakar pada awal Januari telah meragut nyawa 225 orang, menurut pihak berkuasa.
Angka itu peningkatan ketara berbanding data rasmi yang dikeluarkan sebelum ini.
"Ketika keadaan darurat dikuatkuasakan, 225 mayat telah dihantar ke rumah mayat. 19 daripadanya pegawai penguat kuasa dan anggota tentera.
"Selebihnya, penjahat bersenjata yang terbabt dalam serangan pengganas. Malangnya orang awam juga menjadi mangsa keganasan," kata wakil pendakwa raya, Serik Shalabayev dalam satu taklimat di sini.
Jurucakap Kemenerian Kesihatan, Asel Artakshinova pula berkata lebih 2,600 orang telah menerima rawatan di hospital dengan 67 daripadanya dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa Kazakhstan sebelum ini melaporkan tidak sampai 50 kematian; 26 "anggota geng bersenjata" dan 18 anggota keselamatan.
Jumlah kematian lebih tinggi iaitu sebanyak 164 yang dipaparkan di saluran Telegram rasmi minggu lepas, ditarik balik tidak lama kemudian.
Pihak berkuasa mendakwa geng bersenjata dan pengganas antarabangsa telah mengeksplotasi gerakan demonstrasi orang awam dan menghasut mereka supaya mencetuskan rusuhan yang bermula dari bahagian barat negara itu hingga bandar terbesar, Almaty.