ROM, 6 Januari - Itali mewajibkan vaksinasi COVID-19 kepada mereka yang berumur 50 tahun ke atas berkuat kuasa serta-merta.
Langkah yang dilaksanakan sehingga 15 Jun itu menyaksikan Rom menyertai beberapa negara Eropah lain dalam usaha untuk mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan dan kematian.
Perdana Menteri, Mario Draghi berkata, Itali mahu memperlahankan jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat dan menggalakkan mereka yang belum mengambil vaksin agar berbuat demikian.
Negara itu sudah mewajibkan vaksinasi kepada guru dan pekerja kesihatan, dan sejak Oktober tahun lalu semua pekerja perlu diberi vaksin atau hendaklah menunjukkan keputusan ujian negatif sebelum boleh memasuki tempat kerja.
Keengganan kepada peraturan itu boleh menyebabkan mereka digantung kerja tanpa gaji.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan apakah bentuk sekatan yang akan dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan itu, berkuat kuasa 15 Februari ini.
"Langkah ini juga bertujuan untuk memastikan hospital berfungsi dengan baik dan pada masa yang sama memastikan sekolah dan aktiviti perniagaan terus dibuka," kata Draghi menurut jurucakapnya.
Kira-kira 74 peratus rakyat negara itu sudah lengkap divaksin. Manakala hanya enam peratus menerima suntikan tunggal, 35 peratus sudah mendapatkan suntikan penggalak. - Reuters