fb fb fb fb fb

Itali bergelut selamatkan 1,300 pendatang di Mediterranean

(FOTO AFP)

ROME, 11 Mac - Tentera laut dan pihak berkuasa marin Itali bergelut menyelamatkan kira-kira 1,300 migran yang berdepan kesukaran di Laut Mediterranean, hampir dua minggu selepas insiden kapal karam yang mengorbankan lebih 70 nyawa.

Menurut pihak berkuasa marin Itali, operasi yang dijalankan itu amat kompleks kerana jumlah migran yang terlalu ramai di atas bot berkenaan.

Pasukan penyelamat turut membantu dua lagi bot yang berada lebih jauh berhampiran Roccehla Ionica.

(FOTO AFP)

Dalam kejadian pada 26 Februari lalu, sebuah kapal yang membawa muatan berlebihan karam berhampiran Crotone selepas berdepan ribut dan mengorbankan sekurang-kurangnya 73 individu.

Kerajaan Itali pimpinan Perdana Menteri, Giorgia Meloni menafikan bertanggungjawab terhadap insiden itu di sebalik dakwaan mengatakan pihaknya menganggap kapal itu sebagai isu penguatkuasaan undang-undang berbanding isu kemanusiaan.

Jumlah migran yang cuba untuk sampai ke pantai Itali mencatat lonjakan ketika ini dengan Kementerian Dalam Negeri merekodkan lebih 17,500 individu tiba menerusi laut tahun ini hampir tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Semalam, agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex memaklumkan jumlah ketibaan menerusi laluan Mediterranean Tengah meningkat 116 peratus pada Januari dan Februari berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pulau kecil Itali, Lampedusa yang terletak lebih hampir dengan Afrika Utara berbanding Itali pula merekodkan 41 ketibaan bot kelmarin yang juga jumlah tertinggi dalam sehari, lapor media tempatan.-AFP

Media Baharu