fb fb fb fb fb

Banjir semakin buruk, penduduk Queensland dipindahkan

(FOTO AFP)

SYDNEY, 11 Mac - Perkhidmatan kecemasan di Queensland, Australia memindahkan penduduk ke kawasan tinggi hari ini susulan banjir melanda barat laut wilayah itu.

Polis memaklumkan seramai 53 penduduk di bandar Burketown di wilayah Gulf Country, kira-kira 2,115 kilometer dari Brisbane dipindahkan sejak hujan lebat mencetuskan banjir awal minggu ini.

Ketika ini, kira-kira 100 penduduk masih berada di bandar itu dengan polis menggesa pemindahan keseluruhan penduduk dilaksanakan hari ini ketika pusat kaji cuaca Australia meramalkan paras sungai di kawasan itu mencapai kemuncak esok.

(Gambar edaran diambil daripada Perkhidmatan Polis Queensland menunjukkan jalan
yang dinaiki air di bandar Burketown di utara Queensland / FOTO AFP)

"Kami yakin dapat memindahkan baki penduduk sekiranya perlu," kata Superintendan Tom Armitt kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) sambil memaklumkan paras banjir masih meningkat di kawasan terpencil.

Situasi kecemasan itu berlaku selepas insiden banjir yang semakin kerap melanda timur Australia sejak dua tahun lalu akibat fenomena La Nina, termasuk bencana banjir 'sekali dalam 100 tahun' yang melanda kawasan pedalaman di Wilayah Utara pada Januari lalu.

Sebelum ini, Biro Meteorologi Australia memaklumkan, paras banjir di Burketown melepasi rekod 6.87 meter yang dicatatkan pada Mac 2011, selepas menerima 293 milimeter hujan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketika ini, polis sedang menyelaras proses pemindahan penduduk menerusi helikopter, menuju ke arah bandar perlombongan Gunung Isa, kira-kira 425 kilometer ke arah selatan.-REUTERS

Media Baharu