fb fb fb fb fb

Vietnam rancang simpan hasil pertanian utama ketika ketidakstabilan perdagangan global

Pemandangan sawah padi di Vietnam / BERNAMA

HANOI, 9 Mei- Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh pada Jumaat mengarahkan kementerian berkaitan untuk merangka pelan penyimpanan sementara bagi hasil pertanian utama, khususnya beras, kopi dan lada hitam, ketika musim puncak tuaian, lapor Xinhua.

Menurut Agensi Berita Vietnam yang dimiliki kerajaan, arahan itu bertujuan melindungi pendapatan petani dan menstabilkan pasaran dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat.

Chinh menegaskan bahawa perubahan dasar tarif oleh beberapa negara, baik yang sedang berlaku mahupun yang bakal dilaksanakan, boleh menimbulkan risiko terhadap keseluruhan pengeluaran dan eksport, khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.

Menurut Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar, eksport hasil pertanian, perhutanan dan perikanan Vietnam mencecah US$21.15 bilion dalam tempoh empat bulan pertama 2025, meningkat 10.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.- BERNAMA-XINHUA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID