fb fb fb fb fb

Dua lelaki didapati bersalah tebang pokok ikonik Sycamore Gap

FOTO AFP

LONDON, 9 Mei- Dua lelaki didapati bersalah oleh Mahkamah England atas kesalahan menebang secara sengaja pokok ikonik Sycamore Gap, dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan rakyat seluruh negara pada tahun 2023.

Keputusan itu dibuat oleh juri di Mahkamah Crown Newcastle yang sebulat suara mendapati Daniel Graham, 39, dan Adam Carruthers, 32, bersalah atas tuduhan merosakkan harta benda termasuk pokok sycamore bersejarah dan struktur Tembok Hadrian yang menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pokok berkenaan, yang berusia hampir 200 tahun, terletak di utara England dan cukup terkenal sehingga pernah muncul dalam filem Hollywood Robin Hood: Prince of Thieves pada tahun 1991.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah selepas juri mengambil masa kira-kira lima jam untuk membuat pertimbangan terhadap dua pertuduhan iaitu kerosakan ke atas pokok dan juga Tembok Rom yang turut mengalami kerosakan akibat tumbangnya pokok tersebut.

Mengulas keputusan mahkamah, badan pemuliharaan National Trust menyifatkan tindakan menebang pokok berkenaan sebagai satu perbuatan yang menyedihkan, sekali gus menunjukkan betapa kuatnya hubungan rakyat dengan khazanah alam semula jadi negara.

Jurucakap organisasi itu berkata, insiden berkenaan amat dirasai terutama oleh masyarakat di timur laut England, yang menganggap pokok tersebut sebagai simbol kawasan itu dan latar kenangan peribadi ramai penduduk.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE