fb fb fb fb fb

Gunung Merapi Indonesia meletus, muntahkan lahar panas

(FOTO AFP)

JAKARTA, 11 Mac - Gunung berapi Merapi Indonesia yang meletus hari ini memuntahkan awan panas iaitu campuran abu dan lahar panas sejauh hingga kira-kira tujuh kilometer.

Agensi Pengurusan Bencana negara itu memaklumkan Gunung berapi yang terletak di wilayah khas Yogyakarta itu meletus kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan dan mengalirkan lava sejauh 1.5 kilometer.

(Asap tebal keluar dari Gunung Merapi iaitu gunung berapi paling aktif di Indonesia
seperti yang dilihat dari kampung Tunggularum di Sleman / FOTO AFP)

"Penduduk dalam komuniti berhampiran telah diberi amaran supaya menghentikan sebarang aktiviti di zon bahaya iaitu dalam lingkungan antara tiga hingga tujuh kilometer radius dari kawah," kata agensi itu menerusi kenyataan.

Gunung Merapi setinggi 2,963 meter itu adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan sudah berada pada tahap berjaga-jaga kedua tertinggi di negara itu.

Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Indonesia mempunyai banyak gunung berapi berbanding negara lain.

Kali terakhir Gunung Merapi meletus dengan ganas adalah pada 2010, menyebabkan lebih 350 nyawa terkorban.-REUTERS

Media Baharu