fb fb fb fb fb

Isu perebutan Essequibo: Brazil gesa Venezuela dan Guyana teruskan dialog

Kapal perang Venezuela yang dihantar bagi menyertai latihan pertahanan di sempadan Guyana/FOTO AFP

BRASILIA, 30 Disember -Brazil memandang serius ketegangan isu perebutan wilayah antara Venezuela dan Guyana susulan Caracas melancarkan latihan ketenteraan secara besar-besaran berhampiran wilayah Essequibo yang kaya dengan hasil minyak.

Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Khamis mengarahkan ribuan tentera untuk menyertai latihan ketenteraan berdekatan sempadan Guyana sebagai tindak balas terhadap tindakan Britain yang menghantar kapal perang ke kawasan berkenaan.

"Kerajaan Brazil mengikuti perkembangan terbaharu berkaitan wilayah Essequibo dengan penuh waspada", kata Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan.

"Kerajaan Brazil percaya tindakan ketenteraan kedua-dua pihak perlu dihentikan agar proses dialog yang sedang berjalan dapat menghasilkan keputusan positif", tambah kenyataan itu lagi.

Ahad lalu, Britain berkata pihaknya akan menghantar kapal peronda HMS Trent ke Guyana, bekas tanah jajahannya "sebagai sebahagian daripada siri penglibatan negara itu di rantau berkenaan.

Sumber kementerian luar Guyana, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu AFP kapal berkenaan dijangka tiba pada Jumaat dan akan berada di wilayah tersebut selama seminggu untuk latihan pertahanan laut terbuka. Kapal berkenaan dikatakan tidak akan berlabuh di Georgetown.

Sebelum ini, Maduro mendakwa bahawa Essequibo, yang membentuk kira-kira dua pertiga daripada wilayah Guyana, merupakan tanah milik Venezuela.

Perbalahan berkaitan wilayah berkenaan tercetus kembali selepas deposit minyak yang besar ditemui di perairan Essequibo.

Kerajaan Maduro telah mengadakan referendum kontroversi pada 3 Disember di mana 95 peratus rakyatnya menyokong pengisytiharan Venezuela sebagai pemilik sah Essequibo.

Maduro turut memulakan gerakan undang-undang untuk mewujudkan wilayah Venezuela di Essequibo dan mengarahkan syarikat minyak negara itu mengeluarkan lesen untuk mengeluarkan minyak mentah di rantau itu.

Ketegangan yang semakin meningkat itu telah menimbulkan kebimbangan di kawasan terpencil seluas 160,000 kilometer persegi.

Guyana, bekas tanah jajahan British dan Belanda, menegaskan sempadan Essequibo ditentukan oleh panel timbang tara pada tahun 1899.

Namun,Venezuela mendakwa Sungai Essequibo di timur wilayah itu membentuk sempadan semula jadi yang diiktiraf sejak 1777.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD