fb fb fb fb fb

Isu pelabuhan : Somalia bersiap siaga sekiranya Ethiopia masih berdegil

Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud / Foto Reuters

MOGADISHU, 24 Februari - Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud berkata negaranya bersiap siaga mempertahankan diri sekiranya Ethiopia masih berdegil bagi meneruskan perjanjian bagi menubuhkan pengkalan tentera laut di wilayah Somaliland selain kemungkinan bagi mengiktiraf wilayah berkenaan sebagai negara merdeka.

Ethiopia yang tidak mempunyai jalan laut bersetuju memeterai memorandum persefahaman pada 1 Januari lalu untuk memajak sejauh 20 km atau 12 batu di sepanjang pantai Somaliland, wilayah yang didakwa milik Somalia meskipun wilayah berkenaan telah menerima status autonomi sejak 1991.

Kerajaan Ethiopia berkata pemajakan tersebut adalah bagi menubuhkan pangkalan tentera laut di wilayah berkenaan dan menawarkan pengiktirafan Somaliland sebagai satu bentuk pertukaran.

Tindakan Ethiopia itu mendapat kecaman pihak pembangkang Somalia yang bimbang perjanjian itu bakal menjejaskan kestabilan di 'Tanduk Afrika'.

"Jika Ethiopia masih berkeras bagi meneruskan hasrat mereka, Somalia akan menentang dan menolak perjanjian berkenaan", kata Mohamud kepada Reuters pada Selasa dalam satu temubual di Istana Presiden di sini.

"Jika mereka (Ethiopia) masuk ke negara itu, Somalia akan melakukan segala yang boleh untuk mempertahankan diri", tambah Hassan.

Hassan tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai tindakan yang mungkin diambil oleh Somalia.

Tanduk Afrika kerap kali mengalami konflik bermula krisis kebuluran kepada krisis kemarau selain peperangan antara Somalia dan Ethiopia bagi merebut wilayah pada 1977-1978 dan 1982.

Hassan turut menegaskan pihaknya hanya akan bersetuju untuk membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed apabila kerajaan di Addis Ababa meninggalkan hasratnya untuk mengambil sebahagian daripada wilayah Somalia.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Ethiopia enggan mengulas kenyataan Hassan dan menyifatkan negara itu tidak ingin memulakan konflik dengan Somalia dan berusaha bagi menjelaskan perkara sebenar tentang keperluan Ethiopia untuk mempunyai laluan laut.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD