fb fb fb fb fb

Isu jam tangan Rolex: Menteri Dalam Negeri Peru letak jawatan

Victor Torres (kiri)/AFP

LIMA, 2 April- Menteri Dalam Negeri Peru, Victor Torres mengumumkan meletak jawatan di tengah-tengah siasatan mengenai dakwaan pemilikan sekurang-kurangnya tiga jam mewah jenama Rolex oleh Presiden Dina Boluarte.

Torres selepas mesyuarat kabinet semalam memberitahu bahawa beliau meletak jawatan atas sebab peribadi.

Tambahnya, keputusan itu dibuat selepas berjumpa dengan Boluarte.

Sabtu lalu, kediaman dan pejabat Boluarte telah diserbu oleh pihak berkuasa, namun tidak menemukan sebarang jam tangan Rolex.

Awal bulan ini, pihak berkuasa melancarkan siasatan ke atas Boluarte berikutan laporan akhbar mengenai beliau memakai jam tangan mewah yang tidak diisytiharkan dalam rekod awam.

Ia turut menimbulkan keraguan bagaimana Boluarte boleh memiliki barangan mewah tersebut dengan gaji kerajaan sekitar AS$55,000.

Boluarte, 61, tidak menjelaskan lebih lanjut, selain mengatakan jam tangan terbabit adalah hasil kerja kerasnya selama ini.

Presiden Peru itu dijadual memberi kenyataan rasmi kepada polis pada Jumaat ini dan diarah membawa semua jam tangan Rolex yang dimilikinya. -AFP

0204 BD PERU MENTERI LETAK JAWATAN 2
Antara jam tangan Rolex yang dipakai oleh Presiden Dina Boluarte yang menjadi tumpuan rakyat/Reuters

SITI AISHAH MD ISA