fb fb fb fb fb

Hospital Al-Shifa di Gaza musnah sepenuhnya

(Atas) Gambar diambil semalam memaparkan kemusnahan Hospital Al-Shifa dan (bawah) gambar kompleks sama pada 10 Disember 2023/AFP

GAZA, 2 April- Hospital Al-Shifa di Gaza telah musnah sepenuhnya angkara serangan tentera Israel yang dijalankan selama dua minggu ke atas kemudahan tersebut.

Zionis telah berundur semalam selepas membakar kompleks perubatan terbesar di Gaza itu dengan sejumlah mayat ditemukan.

Kira-kira 300 orang dilapor terbunuh dalam operasi berkenaan.

Saksi memaklumkan, sekurang-kurangnya 20 mayat ditemukan dengan kebanyakkannya mempunyai kesan langgar.

"Mayat-mayat (ini) kereta kebal melalui mereka. Kemusnahan, kanak-kanak, orang tidak bersalah (menjadi mangsa). Orang awam tidak bersenjata. Mereka (tentera) menyerbu mereka," kata seorang saksi kepada agensi berita AFP.

Seorang wartawan AFP juga menjadi saksi melihat satu mayat yang sudah reput dengan kesan tayar pada jasadnya.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan skala kemusnahan Al-Shifa adalah sangat besar.

"Berpuluh-puluh mayat, sebahagian daripadanya reput, telah ditemui dari dalam dan sekitar kompleks perubatan Al-Shifa," katanya, sambil menambah hospital itu kini tidak berfungsi sepenuhnya. -AFP

SITI AISHAH MD ISA