fb fb fb fb fb

Isu Esequibo: Guyana,Venezuela setuju berdamai

Presiden Guyana, Irfaan Ali (kiri) dan Nicolas Maduro (kanan) bersalaman selepas bersepakat bagi meredakan ketegangan berkaitan wilayah Esequibo di ICJ/ FOTO REUTERS

KINGSTOWN, 15 Disember - Guyana dan Venezuela pada Khamis bersetuju untuk tidak menggunakan kekerasan dan tidak meningkatkan ketegangan berkaitan tuntutan terhadap wilayah Esequibo.

Persetujuan berkenaan dicapai kedua-dua pihak dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh kedua-dua pemimpin utama negara masing-masing.

Pada pertemuan tersebut Guyana yang diwakili oleh Presidennya Irfaan Ali, manakala Venezuela diwakili Nicolas Maduro.

Wilayah Esequibo yang berkeluasan 62,000 kaki persegi itu diiktiraf sebahagian daripada kawasan milik Guyana, namun dituntut oleh Venezuela sebagai wilayah negara itu merangkumi pesisir pantai susulan penemuan gas dan minyak di kwasan berkenaan.

Kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama berikrar tidak akan mengancam atau menggunakan kekerasan antara satu sama lain yang boleh meningkatkan ketegangan atau konflik.

Kenyataan bersama berkenaan turut menyebut bahawa pertikaian Esequibo akan diselesaikan menerusi undang-undang antarabangsa.

Ketegangan berkaitan wilayah Esequibo di antara kedua-dua negara kembali meningkat susulan pengundian referendum yang dilaksanakan Venezuela yang menyaksikan sokongan rakyat negara itu bagi menjadikan kawasan Esequibo sebagai negeri baharu.

Referendum itu juga turut menolak peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengadili pertikaian kedua-dua negara.

Konflik berkenaan semakin panas apabila Maduro dilaporkan membenarkan kerja-kerja mencari gali minyak di wilayah Esequibo.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD