HELSINKI, 15 Disember- Pegawal Keselamatan Finland pada Jumaat berkata lebih 200 pencari suaka politik dari Rusia telah memasuki negara berkenaan sejak beberapa lintasan sempadan kembali dibuka pada Khamis setelah ditutup sepenuhnya selama dua minggu.
Peningkatan kemasukan pencari suaka politik berkenaan dipercayai sebagai langkah tindak balas Moscow terhadap keputusan negara Nordic itu yang meningkatkan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat.
"Fenomena (kemasukan pencari suaka politik) ini berulang kembali.
"Kerajaan terpaksa menutup keseluruhan sempadan", kata Menteri Dalam Negeri Finland, Mari Rantanen kepada Parlimen negara berkenaan.
"Ini adalah usaha terancang Rusia terhadap Finland. Kami tidak akan sesekali bertolak-ansur dengan tindakan ini", tambah Rantanen lagi.
Kerajaan Finland dalam satu kenyataan berkata negara itu akan kembali menutup sempadan pada pukul 6.00 petang waktu tempatan selama sebulan.
Finland menyertai NATO pada April selepas berdekad-dekad mengambil pendekatan tidak berpihak selain mempunyai hubungan mesra dan pragmatik dengan Rusia.
Sempadan berkeluasan sejauh 1,340 kilometer (km) dengan Rusia berfungsi sebagai sempadan luar Kesatuan Eropah (EU) dan membentuk sayap timur laut NATO.
Kira-kira 900 pencari suaka dari negara-negara seperti Kenya, Maghribi, Pakistan, Somalia, Syria dan Yaman memasuki Finland dari Rusia pada November lalu.
Sementara itu, menerusi surat yang diterbitkan pada Isnin, Majlis Eropah berkata ia prihatin tentang hak pelarian, pencari suaka dan pendatang berikutan penutupan sementara sempadan dan meminta agar Finland memastikan ia kekal untuk perlindungan.
Pada 2021, kira-kira 3,000 hingga 4,000 pencari suaka terkandas di sempadan antara Poland dan Belarus ketika Warsaw mengerahkan pasukan keselamatan untuk menghalang orang ramai daripada masuk di tengah-tengah suhu musim sejuk yang membeku.-REUTERS