BAITULMAQDIS, 22 Ogos - Israel mengugut untuk memusnahkan Gaza City sekiranya Hamas tidak bersetuju meletak senjata dan membebaskan baki tahanan Israel.
Menteri Pertahanannya, Israel Katz menerusi catatan di akaun media sosial berkata, jika kumpulan pejuang Palestin itu enggan memenuhi tuntutan rejim kononnya untuk menamatkan perang, Gaza City akan menerima nasib serupa seperti Rafah dan Beit Hanoun.
Dia merujuk kepada dua bandar di Gaza yang sebahagian besarnya musnah semasa operasi rejim zionis, sebelum ini.
Ugutan terbaharu itu dibuat selepas Benjamin Netanyahu mengarahkan agar rundingan disegerakan bagi membebaskan baki tahanan Israel di Gaza.
Pada masa sama, Perdana Menteri Israel itu mengarahkan tentera zionis terus menggempur Gaza City, serta menghancurkan kubu kuat Hamas.
Awal minggu ini, Israel turut mengeluarkan panggilan kepada kira-kira 60,000 anggota tentera simpanan untuk menyertai operasi tersebut.
Rancangan Israel untuk menguasai Gaza City diluluskan kabinet Keselamatan awal bulan ini meski menerima tentangan daripada kebanyakkan sekutu rapat Israel. -AFP