fb fb fb fb fb

Cuaca panas melampau jejas lebih 2.4 bilion pekerja di seluruh dunia

Foto Reuters

GENEVA, 22 Ogos - Lebih 2.4 bilion atau 71 peratus pekerja di seluruh dunia, terdedah kepada suhu panas melampau.

Ia mengakibatkan lebih daripada 22.85 juta kecederaan pekerjaan setiap tahun, dan hampir 19,000 kematian.

Pendedahan itu dibuat Ketua Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, (ILO), Joaquim Pintado Nunes.

"Tanpa tindakan yang berani dan diselaraskan, tekanan haba akan menjadi salah satu bahaya pekerjaan yang paling dahsyat pada zaman kita, yang membawa kepada kehilangan nyawa dan produktiviti yang ketara," katanya.

Menurut beliau, melabur dalam strategi yang berkesan, pencegahan dan perlindungan akan menyelamatkan dunia bilion-bilion Dolar setiap tahun.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) dan Pertubuhan Meteorologi Dunia, (WMO) dalam laporan memaklumkan, peningkatan suhu global memberi kesan yang semakin teruk terhadap kesihatan dan produktiviti pekerja.

Kedua-dua agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu itu menggesa tindakan segera untuk menangani bahaya tekanan haba.

Laporan itu menyebut, pekerja manual dalam sektor seperti pertanian, pembinaan dan perikanan paling terjejas.

Produktiviti pekerja menurun sebanyak dua hingga tiga peratus bagi setiap darjah melebihi 20 Celsius.

Risiko kesihatan yang berkaitan termasuk strok haba, dehidrasi, kegagalan buah pinggang dan gangguan saraf. -AFP

EMMI NORALIZA ADNAN