ANKARA, 9 April - Israel menolak permintaan Turkiye untuk menyertai operasi bekalan bantuan melalui udara kepada rakyat Palestin di Gaza, kata Menteri Luar, Hakan Fidan.
Bagaimanapun, beliau berkata Turkiye berikrar untuk mengambil beberapa siri langkah baharu terhadap Israel.
Sejak Palestin diserang Israel tanpa henti pada 7 Oktober tahun lalu, Turkiye antara negara yang sering menghantar bantuan ke Gaza.
Ini termasuk Amerika Syarikat (AS) yang mula menghantar bekalan bantuan ke Gaza dari udara pada bulan lalu.
Turut menyumbang bekalan bantuan melalui udara adalah Belanda, Perancis, Sepanyol serta beberapa negara lain.
"Hari ini kami mengetahui bahawa permintaan kami... ditolak oleh Israel. Tidak ada alasan untuk Israel menghalang percubaan kami untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza yang kelaparan," katanya.
"Kami memutuskan untuk mengambil satu siri langkah baharu terhadap Israel," katanya, sambil menambah bahawa ia akan dihebahkan oleh institusi berkaitan.
Tentera udara Turkiye mahu menggugurkan sebahagian daripada operasi bantuan kemanusiaan melalui pesawat kargonya.
Pihak berkuasa Israel bagaimanapun tidak segera mengulas mengenai hal tersebut.
"Tiada alasan untuk Israel menyekat percubaan kami untuk menggugurkan bekalan kepada penduduk Gaza yang sedang kebuluran," kata Fidan.
"Langkah-langkah ini, yang diluluskan oleh Presiden kami, akan dilaksanakan secara berperingkat tanpa berlengah lagi," tegas Fidan, tanpa memperincikan lebih lanjut perancangan mereka.
"Langkah-langkah itu yang akan diumumkan oleh institusi tertentu kami, dan akan dilaksanakan sehingga Israel mengisytiharkan untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa sebarang gangguan," tambahnya. - REUTERS