fb fb fb fb fb

Israel terus bedil Gaza, PBB suara kebimbangan serius

Kepulan asap meletus di Khan Yunis dari Rafah di jalur selatan Gaza semasa pengeboman Israel pada 26 Disember 2023/ AFP

PALESTIN, 27 Disember- Israel meneruskan serangannya terhadap Gaza walaupun kebimbangan serius dinyatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Israel berkata mereka menyerang tapak tentera dan terowong di Jabalia, utara Gaza, dan Khan Yunis di selatan, ketika serangan darat masih berterusan.

Insiden yang dikaitkan dengan kumpulan disokong Iran di Laut Merah, di sempadan Lubnan dan di Iraq menambah ketegangan perang serantau.

Asap hitam menyelubungi langit di tengah Gaza pada petang Selasa dan, di selatan kelihatan kereta kuda membawa beberapa mangsa ke hospital di Khan Yunis.

Sebanyak 2.4 juta penduduk Gaza mengalami kekurangan air, makanan, bahan api dan ubat-ubatan, namun bantuan yang masuk amat terhad.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB dalam resolusi tidak menyatakan agar pertempuran segera dihentikan, namun meminta "penyampaian bantuan kemanusiaan secara selamat dan tanpa halangan".

Badan dunia itu meminta pelantikan penyelaras kemanusiaan PBB untuk menyelia dan mengesahkan bantuan negara ketiga kepada Gaza.

Dianggarkan 1.9 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal dan menurut PBB, ramai telah melarikan diri ke selatan.

Perkhidmatan internet dan telefon sekali lagi terputus di seluruh wilayah Palestin, "disebabkan serangan berterusan," kata firma telekomunikasi utama Gaza, Paltel.

“Kami amat bimbang tentang pengeboman berterusan di tengah Gaza oleh tentera Israel,” terutamanya selepas tentera mengarahkan penduduk berpindah ke wilayah tengah Gaza dan Rafah, kata Seif Magango, jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB.

Perancis, sekutu setia Israel, juga berkata ia "sangat prihatin" dengan ikrar Israel untuk memperhebat dan memanjangkan pertempuran.

Dalam op-ed Wall Street Journal yang diterbitkan lewat Isnin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi bahawa keamanan hanya boleh datang dengan tiga prasyarat iaitu Hamas mesti dimusnahkan, Gaza mesti dimusnahkan dan masyarakat Palestin mesti dideradikalisasikan.

Pada Selasa ketua tentera Israel, Herzi Halevi memberitahu sidang akhbar bahawa perang "akan berterusan untuk beberapa bulan lagi", satu perkara yang dibuat lebih awal pada bulan Disember oleh Menteri Pertahanan Yoav Gallant.

Tentera sedang menumpukan usahanya di selatan Gaza, kata Halevi.

Perang Gaza paling berdarah meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu dan membunuh kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka oleh Israel.

Mereka mengambil 250 tebusan, yang mana 129 daripadanya masih berada di Gaza.

Israel melancarkan pengeboman udara yang meluas dan pengepungan, diikuti pencerobohan darat.

Kempen itu membunuh 20,674 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI