DUBAI, 27 Disember- Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa pihaknya berjaya mematahkan serangan puluhan dron dan bedilan peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi di Yaman, ke arah kapal di Laut Merah, maklum Pentagon hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Perintah Pentagon di media sosial, tiada kerosakan kapal atau kecederaan direkodkan berikutan serangan ke atas kapal dagang yang melalui perairan berkenaan.
Menggambarkan serangan itu, Pentagon berkata ia melibatkan 12 dron, tiga peluru berpandu balistik anti-kapal dan dua peluru berpandu serangan darat dalam tempoh 10 jam.
Terdahulu, kumpulan Houthi mengaku pihaknya bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah kapal di Laut Merah termasuk melakukan serangan dron ke arah Israel sebagai tanda solidariti dengan Gaza.
Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang itu berkata mereka melancarkan operasi dengan menyasarkan kapal komersial yang dikenali sebagai MSC UNITED dan melakukan beberapa serangan dron di selatan Israel.
Ia adalah serangan terbaru yang menggunakan dron dan peluru berpandu, dilancarkan oleh kumpulan itu sejak perang Israel-Palestin pada 7 Oktober lalu.
Kumpulan itu menjelaskan bahawa mereka menyerang Israel dan semua kapal dikaitkan dengan negara Yahudi itu bagi mendesak mereka untuk menghentikan serangan di Semenanjung Gaza, di mana rejim Zionis sedang memerangi pejuang Hamas.
Semalam, penyedia maklumat ketenteraan dikenali sebagai Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata 'kedengaran bunyi letupan dan peluru berpandu dikesan' berhampiran pelabuhan Hodeida di pantai barat Yaman.
Bagaimanapun, tambah agensi itu, sebuah kapal yang sedang transit dan anak kapalnya dilaporkan selamat.
Menurut UKMTO lagi, kapal itu kemudian meneruskan pelayarannya tanpa melaporkan sebarang kerosakan besar atau kecederaan anak kapal.
Semalam, letupan boleh kedengaran di luar pantai Semenanjung Sinai, Mesir. Menurut media berkaitan kerajaan Mesir, tentera Israel mendakwa pihaknya berjaya memintas objek udara di Laut Merah.
Pentagon mendakwa, kumpulan Houthi melancarkan lebih 100 serangan dron dan peluru berpandu, menyasarkan 10 kapal dagang yang membabitkan lebih 35 negara.
Serangan itu membahayakan laluan transit yang membawa sehingga 12 peratus perdagangan global, sekali gus mendorong AS menubuhkan pasukan petugas tentera laut multinasional untuk melindungi kapal di perairan itu. - AFP